Jan 13, 2012

sesalnya aku lalai dahulu..


Dalam hidup ini kita tidak akan dapat lari dari sebuah penyesalan. Penyesalan yang bersifat sementara atau pun yang akan kita rasa sehingga akhir hayat. Pada diri ku, sesalnya aku lalai dahulu. Sesalnya aku menjadi insan yang tak berguna dahulu. Sesalnya aku menjadi anak yang derhaka. Sesalnya aku menjadi pelajar yang tidak mendengar kata. Sesalnya aku menjadi umat yang selalu lalai dalam menunaikan Hak-Mu. Terleka dengan duniawi. Terkadang ukhrawi kuabaikan. Subhanallah, hinanya diri ini tika itu. Sesalnya aku dahulu, menggunakan segala nikmat pancaindera yang telah Engkau kurniakan padaku di jalan yang salah, di jalan yang mungkar, menjerumuskan diriku ke lembah dosa. Membiarkan diri ini alpa saat hidayah-Mu tiba. Meninggalkan solat lima waktu perkara biasa yang ku lakukan tika itu. Diri ini merasakan akan muda sampai bila-bila, diri ini merasakan mati itu tidak akan menjengah pada usia yang muda. Sedangkan mati itu tidak mengira siapa, tidak mengira berapa umurnya. Tetapi kini Alhamdulillah diri ini tidak pernah meninggalkan kewajipan yang utama pada yang Maha Esa. Kerana solat itu tiang agama. Jika dahulu aku adalah anak yang tidak mendengar kata, anak yang derhaka. Kerapkali meninggikan suara pada kedua ibu bapa ku, mengabaikan segala nasihat mereka. Ku tidak hiraukan mereka ketika mereka sakit, ketika mereka penat membanting tulang untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Sedangkan ibu bapa ku sentiasa akan mendahulukan anak-anak dalam setiap apa yang dilakukan, sentiasa meletakkan anak-anak di takhta pertama dalam hati mereka, sanggup berkorban apa sahaja untuk anak-anak. Berdosanya diri  ini ketika itu. Sungguh tidak dapat membezakan yang mana halal yang mana haram. Kini, aku cuba menjadi anak yang terbaik, anak yang mendengar kata. Setelah ku pohon ampun atas segala khilaf pada kedua ibu bapa, damainya hati ini hanya ALLAH yang tahu. Dahulu, pergaulan ku dengan lelaki ajnabi tiada batasannya. Bersentuhan, berpegangan tangan, itu kerap kali ku lakukan. Subhanallah. Terlalu banyak dosa yang telah kuhimpunkan tika itu. Aurat yang wajib dijaga, mahkota diri yang wajib ditutup, kadangkala ku terleka dan ku jaga aurat itu sekadar perlu sahaja. Menutup rambut, tetapi memakai pakaian ketat. Tetapi kini, Alhamdulillah setelah hadir hidayah dari ALLAH, aurat ku dijaga dengan sebaiknya. Pergaulan dengan lelaki ajnabi itu hanya disaat perkara yang penting saja dilakukan. Disaat ada perbincangan yang harus dilakukan mengenai isu agama, isu pelajaran.  Ini adalah cebisan kisah yang ku lalui sebelum diri ini mendapat hidayah dari ALLAH. Alhamdulillah diri ini sedar sebelum terjerumus ke dalam kancah dosa yang lebih dalam. Doaku pada yang ESA hanya satu, moga diri ini sentiasa diteguhkan iman dan tidak berpaling pada kisah yang lalu. Cukuplah segala khilaf dan segala dosa yang telah ku lakukan dahulu. Kini, ku hambakan diriku hanya padaMu yang ESA. Aku terus kuat, terus berdiri teguh bilamana banyak kata sindiran yang ku terima apabila diri ini berubah kerah yang lebih baik. Bilamana diri ini cuba menjadi muslimat yang diredhai, banyak kata-kata sumbang yang kudengar. Aku hanya senyum dan terus senyum, kerana cintaMU YA ALLAH yang begitu kuat. Insyallah diri ini akan sentiasa berada di jalanMU Ya ALLAH.

 DOAKU:
YA ALLAH
                                                     Jika dulu aku angkuh di bumi-MU,
Alhamdulillah..
Hidayah-MU mematahkan keangkuhanku,
Membangunkan sifat malu,
Yang selama ini tersorok dalam diri,
Kutundukkan pandanganku,
Yang selama ini meliar!
Kutimbulkan kekeliruan pada teman-teman,
Kutempis segala teguran sinis,
Kutekadkan dalam kalbuku,
Jihad ini adalah untuk agamaKU..



No comments:

Post a Comment